Taip sahaja perkataan Turki, mesti akan ada keluar gambar-gambar belon udara panas yang banyak berterbangan di angkasa Cappadocia. Sebagai pencinta gambar dan pemandangan cantik, tipu kalau anda tak teringin nak naik dan merasa juga pengalaman di situ. Cantik gila, kan. Sebab kami pun terasa yang sama.

Bukan setakat gambar yang cantik dan lain daripada yang lain, malah pengalaman menaiki belon udara panas di angkasa Cappadocia merentasi lanskap yang berlainan dan berubah-ubah suasananya di sana adalah satu pengalaman yang menakjubkan. Fairy Chimneys, Monk’s Valley, Imagination Valley, dan rumah-rumah gua adalah antara panorama yang akan anda jumpai sepanjang penerbangan lebih kurang sejam ke sejam setengah dengan belon udara panas.

Batu-batu ceracak di bawah itu macam bentuk atap rumah bulat kan?

Dah tentu, pengalaman ini lebih mahal nilainya kerana anda akan menelusuri tempat-tempat tadi dari sudut pandang berbeza. Macam burung yang terbang tinggi. Kalau anda nak tahu, belon udara panas di sini boleh naik sehingga paras 800 meter dari tanah! Hampir 1 kilometer!

Hm… tapi di Malaysia pun ada aktiviti belon udara panas di Putrajaya kan. Apa bezanya dengan yang di Turki ini?

Pertamanya, aktiviti belon udara panas di Turki ini sentiasa ada sepanjang tahun. Anda boleh naik pada bila-bila masa anda mahu. Berbanding di negara-negara lain yang terpaksa mengikut musim yang bersesuaian. Di Malaysia pula, mengikut musim program yang mendatangkan belon tersebut di Putrajaya nanti.

Kedua, kawalan keselamatan untuk pemandu dan pengendali belon udara panas di Turki jauh lebih ketat berbanding di mana-mana tempat lain. Pemandu terlatih perlu menjalani latihan 5 kali lebih lama berbanding di tempat lain baru dapat lesen penuh! Jadi anda boleh hela nafas lega kalau naik belon ini bersama mereka.

Ketiga, walaupun di Cappadocia ada hampir beratus belon udara panas yang beroperasi, langit tetap nampak begitu luas, pemandangan bumi yang indah masih boleh dinikmati dengan mudah dan cantik. Paling penting, penerbangan selama sejam lebih itu tidak hanya di satu kawasan, tapi merentasi ke banyak kawasan cantik yang tampak seperti berubah-ubah keadaan topografinya dan warnanya.

Jom kita kumpul duit nak naik belon udara panas di sana. Harga dia berbaloi dengan pengalaman mahalnya, dah tentu. Cuma, kena cari yang muslim friendly, atau maklumkan kita muslim sebab biasanya pakej mereka akan sediakan champagne bila turun.