Daun Maple Goreng Osaka

Daun Maple Goreng Osaka

Makanan goreng sedap dimakan panas-panas, lebih lagi kalau baru sahaja keluar dari kuali. Makanan seperti pisang goreng, cempedak goreng, cendawan dan sotong goreng, sangat enak dimakan bersama kuah cicahnya masing-masing.

Dalam banyak-banyak makanan bergoreng ini, rasanya jarang atau tak pernah kita dengar tentang daun maple goreng. Ya. Daun. Macam daun yang gugur dari pokok atau kita petik sendiri itu.

Walaupun pokok maple itu sumber untuk gula maple (maple syrup), daunnya tetap sama dengan daun lain. Uniknya ialah pada bentuk daun itu.

Bunyi macam senang kan. Ambil daun, celup tepung, goreng dalam kuali panas.

Tapi tidak. Daun maple goreng ini ada resepi khasnya. Pertama, orang Jepun akan pilih (bukan ambil je mana-mana daun ya) daun maple dan disimpan dalam tong berisi garam selama lebih kurang setahun. Kemudian, daun-daun ini akan dicelup dalam adunan tepung tempura beserta biji sesame dan gula. Selepas itu barulah digoreng selama 20 minit dalam kuali.

Tempat yang ada banyak dihidang snek istimewa ini ialah di Taman Minoo, dalam kawasan Kansai. Mungkin anda akan jumpa nama lain bagi snek ini seperti Momiji Tempura. Momiji ialah nama lain bagi Maple Jepun.

Seperti makanan goreng lain, daun maple goreng ini juga ada waktu yang sangat best untuk dimakan. Ya, betul tu! Waktu paling bagus untuk makan daun maple goreng ini ialah semasa musim luruh. Dengan angin sejuk bertiup, dihujani daun luruh berwarna keemasan dan keperangan. Feeling habis~

Dapat bayangkan ke suasananya?

Boleh jadi anda pun berpeluang merasanya juga? Pergilah melancong ke Osaka. Kena cuba sekali seumur hidup, boleh cerita pada anak cucu.

Muhammad Zulkarnain

Seorang jejaka yang gemar pemandangan yang mengujakan dan menakjubkan. Sukakan aktiviti eksplorasi alam dan hidup aktif agar badan bergerak sihat.

Leave a Reply

Close Menu